Sabah mudah jinakkan FELCRA FC di Likas

2 gol Pito bantu Sabah benam Felcra. Kredit: FMLLP

Sabah terus menghidupkan peluang tipis untuk layak ke Liga Super 2019 apabila mudah menumpaskan pasukan FELCRA FC dengan jaringan 3-0 dalam perlawanan 100PLUS Liga Premier 2018 di Stadium Likas malam tadi. Kemenangan ini juga memastikan Sabah berada di landasan yang betul untuk layak ke saingan Piala Malaysia musim ini.

Ikuti ringkasan sorotan perlawanan

Dalam perlawanan ini sekali lagi JA menurunkan Evan Wensly sebagai pemain pertahanan kiri Sabah untuk menggantikan Dendy Lowa yang mengalami kecederaan ketika perlawanan menentang Pulau Pinang yang lalu. Sebagai rekod, setiap kali Evan diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama, Sabah memenangi perlawanan tersebut.

Kesebelasan utama Sabah semalam. Evan Wensley diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama dan menampakkan impak positif.

Dengan formasi 4-4-2, pasukan Sabah melakukan asakan bertubi-tubi sejak wisel permulaan permainan ditiupkan pengadil dan jarang memberikan peluang kepada para pemain pasukan FELCRA FC untuk mendapatkan bola. Ketika Sabah melakukan serangan, kelihatan Maxsius Musa dan Hamran Peter terlalu merbahaya jika tidak dikawal ketat.

Sabah menghasilkan gol pertama pada minit ke-15 permainan apabila Maxsius Musa berjaya melakukan penyudah jaringan dari jarak dekat hasil umpanan atau set up yang cantik daripada Rodoljub Paunovic. Gerakan dimulai oleh Sabri Sahar yang melakukan hantaran tepat kepada Roki yang seterusnya melakukan tandukan ke arah Maxsius yang tidak dikawal.

Maxsius Musa menghasilkan 1 gol dan menghasilkan 1 assist kepada Pito melalui sepakan penalti.
Kredit: FMLLP

Assist daripada Roki kepada Maxsius itu amat mirip dengan assist yang beliau lakukan kepada Lee Gil Hoon ketika menewaskan PDRM FA di tempat lawan dalam perlawanan Liga Perdana musim lepas.

Pasukan Sabah yang tidak penat Lelah menggeladah benteng pertahanan FELCRA FC akhirnya mendapat gol ke-2 melalui Pito apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas Maxsius Musa dijatuhkan oleh penjaga gol FELCRA FC yang juga merupakan bekas pemain Sabah, Fadzley Rahim.

Separuh masa pertama tamat dengan Sabah mendahului pasukan FELCRA FC 2-0.

Bersambung babak ke-2, pasukan Sabah tidak menunggu lama apabila menjadikan kedudukan 3-0 sebaik wisel permulaan separuh masa ke-2 ditiupkan pengadil perlawanan. Go ke-3 Sabah itu sekali lagi dihasilkan oleh penyerang import dari Puerto Rico, Pito melalui satu gerakan pantas yang dilakukan oleh Hamran Peter. Lorongan pendek Hamran tepat ke arah Pito yang melakukan sepakan leret menewaskan Fadzley.

Pasukan FELCRA FC yang nampak terkesima dengan gol-gol yang dihasilkan Sabah itu akhirnya berjaya mengimbangi perlawanan namun ketangkasan benteng pertahanan Sabah amat sukar digugat.

Perlawanan berakhir dengan Sabah mudah mengenepikan cabaran FELCRA FC dengan 3 gol tanpa balas.

 

Perlawanan terakhir akan jadi penentu

Perlawanan terakhir liga iaitu perlawanan yang ke-20 merupakan penentu untuk mengetahui pasukan manakah yang akan mengiringi Felda United ke Liga Super musim hadapan dan juga pasukan manakah yang bakal bersaing dalam Piala Malaysia musim ini.

Kita sudah sedia maklum bahawa pasukan FELDA dan FELCRA sudah mengesahkan tempat mereka dalam Piala Malaysia musim ini walau apapun keputusan nanti.

Jumlah mata yang dipungut oleh pasukan yang berada di tangga ke-6 hingga tangga ke-2 adalah sangat rapat. Ini membuatkan persaingan merebut tempat ke Piala Malaysia menjadi lebih sengit.

Berikut merupakan jumlah pungutan mata bagi pasukan dari tangga ke-2 hingga ke-6 liga:

2. FELCRA FC (31 mata)
3. MIFA (29 mata)
4. Sabah (28 mata)
5. JDT II (27 mata)
6. PDRM FA (26 mata)

Kedudukan terkini liga selepas 19 perlawanan.
Kredit: FMLLP

Syarat untuk Sabah layak ke Liga Super 2019

Bagi pasukan Sabah, mereka perlu menang ke atas pasukan PDRM FA pada perlawanan terakhir mereka nanti untuk memastikan kedudukan ke Piala Malaysia edisi musim ini. Sementara itu, untuk peluang ke Liga Super pula, Sabah harus menang ke atas PDRM FA dan berharap agar keputusan perlawanan yang melibatkan FELCRA FC dan MIFA adalah berpihak kepada mereka.

Perjalanan pasukan Sabah dalam liga musim ini adalah yang terbaik sejak 2014 kerana perlawanan terakhir liga yang menentukan pasukan mana yang akan layak secara automatik ke Liga Super musim depan.

Musim-musim sebelum ini menyaksikan Sabah ‘bungkus awal’ dan tidak layak pun dalam saingan Piala Malaysia.

Kita harapkan ada sinar buat pasukan Sabah kendalian Jelius Ating.

About the Author

Barman Oken Omoi
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "Sabah mudah jinakkan FELCRA FC di Likas"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*