Sang Badak intai jinakkan Harimau Kumbang di Likas esok

Sabah vs Pulau Pinang Kredit: Beaufort Soulja 2K15

Sabah akan berhadapan dengan pasukan Pulau Pinang di Stadium Likas pada pukul 8.15 malam esok dalam perlawanan ke-19, 100PLUS Liga Premier Malaysia 2018. Sabah meneruskan lagi misi mereka untuk mengesahkan slot mereka ke saingan Piala Malaysia musim ini di samping mengintai peluang untuk layak ke Liga Super 2019 walaupun peluang tersebut agak tipis.

Perlawanan ini dijangka berlaku dengan sangat sengit memandangkan pasukan yang digelar Harimau Kumbang itu  juga mencuba sedaya upaya untuk mengelak daripada tercicir ke saingan Piala FAM musim hadapan. Dalam erti kata yang lain, kedua-dua pasukan ini esok mempunyai misi mereka yang tersendiri dan mereka dilihat harus bermain dengan sehabis baik.

 

Rekod pertemuan Sabah vs Pulau Pinang

Kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu adalah pada 28 April 2018 di Stadium Batu Kawan yang mana pasukan Pulau Pinang menewaskan Sabah dengan jaringan 2-1 hasil jaringan penalti saat akhir daripada pemain import mereka dari Korea Selatan, Kang Seung-Jo dan jaringan Sanna Nyassi melalui sepakan sudut. Gol tunggal Sabah pada ketika itu hadir menerusi Maxsius Musa hasil assist daripada Hector Ramos.

Saksikan highlight ketika Sabah tewas 2-1 dalam perlawanan tersebut.

Dalam pertemuan mereka sebelum ini, ternyata pasukan yang bermain sebagai tuan rumah akan memenangi perlawanan tersebut. Buktinya ialah, ketika saingan Liga Perdana 2015, pasukan Sabah menang 1-0 di Likas namun tewas 4-0 di tempat lawan.

Oleh itu, dalam perlawanan ini Sabah mempunyai peluang yang lebih baik untuk menang ditambah pula dengan sokongan daripada penyokong di tempat sendiri yang menyedari misi pasukan Sabah ketika ini.

 

Pemain tumpuan Pulau Pinang

Pasukan PP ini kelihatan mempunyai kesukaran untuk menghasilkan gol. Ini kerana mereka hanya menjaringkan sebanyak 18 gol dalam 18 perlawanan namun dibolosi sebanyak 24 gol. Walaubagaimanapun, pasukan Sabah harus mengambil perhatian serius kepada berapa pemain skuad Harimau Kumbang seperti Kang Seung-Jo, Raimi Mohd Nor dan Faiz Subri.

Kang Seung-Jo merupakan pemain tengah import buat PP yang didatangkan dari Korea Selatan. Sehingga setakat ini, Kang Seung-Jo sudahpun menghasilkan 4 gol termasuk gol yang beliau hasilkan ketika menewaskan Sabah dalam perlawanan pusingan pertama liga.

Kang Seung-Jo (kiri) dan Raimi Md Nor (kanan) meraikan jaringan kemenangan 2-1 ke atas Sabah dalam perlawanan pusingan pertama liga di Stadium Batu Kawan. Kedua-dua pemain ini harus diberikan perhatian khusus oleh para pemain Sabah.
Kredit: Penang FA Official Media

Faiz Subri pula perlu diberikan perhatian yang wajar oleh para pemain Sabah memandangkan pemain ini merupakan penerima anugerah Puskas FIFA 2016 selepas menghasilkan gol cantik menerusi sepakan percuma ketika menentang pasukan Pahang. Faiz Subri merupakan pakar sepakan percuma buat pasukan PP.

Kekreatifan Raimi Mohd Nor di bahagian tengah juga haruslah diberikan tumpuan sepenuhnya oleh para pemain Sabah terutama sekali kepada para pemain DMF Sabah. Bekas pemain Selangor yang walaupun bertubuh agak kecil ini mempunyai kemahiran inidividu yang baik sebagai perancang tengah pasukan PP dan boleh memudaratkan jika dibiarkan tanpa kawalan ketat.

 

Sabah mendapat suntikan semangat istemewa

Sabah mendapat suntikan semangat yang istemewa menjelang perlawanan ini memandangkan Hector Ramos baru sahaja diumumkan sebagai pemain terbaik 100PLUS Liga Premier 2018 bagi edisi bulan Jun oleh PFAM. Dengan kejayaan ini maka sudah pasti Pito akan lebih bersemangat untuk menghasilkan gol buat Sabah.

Berikut merupakan kenyataan dari PFAM melalui akaun Twitter mereka:

Untuk rekod, Pito sudah pun menghasilkan sebanyak 11 gol dalam 18 perlawanan setakat ini. Dan yang paling menarik ialah, pemain import dari Puerto Rico ini menjaringkan 5 gol dalam 5 perlawanan terakhir beliau dengan menghasilkan 1 gol di setiap 5 perlawanan tersebut. Apakah beliau sekali lagi menyumbat jaringan dalam perlawanan ini?

 

Jenius Karib & Keisuke Ogawa kembali jalani latihan

Sabah yang bermain beberapa perlawanan tanpa khidmat Keisuke Ogawa dan Jenius Karib mungkin akan mendapat semula khidmat kedua-dua pemain ini pada perlawanan esok jika Jelius Ating merasakan mereka sudah kembali cergas sepenuhnya.

Keisuke Ogawa yang tidak diturunkan dalam 2 perlawanan terakhir Sabah kini sudah menjalani latihan semula bersama pasukan.
Kredit: Sabah FA Official Media

Kedua-dua pemain ini sudahpun menjalani latihan bersama Sabah bermula semalam dalam latihan yang diadakan di Stadium Likas.

Apapun, dengan ketiadaan pemain-pemain ini, Sabah kelihatan masih berupaya menghasilkan keputusan yang memberansangkan misalnya menewaskan UiTM FC di tempat lawan 3-0, menewaskan MISC-MIFA FC 3-2 di Likas dan terakhir menewaskan Terengganu FC II 2-1 di tempat lawan. Apakah JA akan melakukan rombakan semula ke atas barisan pemain esok? Kita sama-sama saksikan.

 

Kemenangan FELCRA FC ke atas JDT II esok bakal menutup peluang Sabah ke Liga Super 2019

Pasukan Sabah kini berada dalam landasan yang tepat untuk layak ke saingan Piala Malaysia musim ini namun dalam masa yang sama Sabah juga mengintai peluang untuk layak ke Liga Super tahun hadapan. Namun ini bergantung sepenuhnya kepada keputusan perlawanan di antara pasukan FELCRA FC dan JDT II esok. Jika FELCRA FC tewas ataupun seri maka masih ada peluang buat Sabah untuk layak. Sebaliknya jika FELCRA FC menang maka tertutuplah sudah ruang untuk Sabah.

Sudah pasti para penyokong Sabah mengharapkan JDT II dapat menewaskan pasukan FELCRA FC.

Jadual perlawanan ke-18 liga bagi pasukan-pasukan lain dalam 100PLUS Liga Premier 2018.
Kredit: FMLLP

 

Sokongan daripada penyokong Sabah amat diperlukan

Dengan perjuangan pasukan Sabah dalam liga musim ini hanya berbaki 3 perlawanan, sokongan moral terhadap mereka adalah amat diperlukan. Oleh itu, sebagai anak jati dan penyokong setia Sabah, marilah kita berikan sokongan kepada mereka dalam bentuk sorakan semangat. Dan untuk tujuan itu, kehadiran anda di Stadium Likas esok amatlah diharapkan.

Perjuangan dan semangat para pemain Sabah akan lebih berkobar-kobar dengan adanya sorakan daripada kita semua. Oleh itu, tunaikanlah tanggung jawab kita bersama.

About the Author

Barman Oken Omoi
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "Sang Badak intai jinakkan Harimau Kumbang di Likas esok"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*