5 Mesej penting JA selepas Sabah menang 2-1 ke atas TFC II

Aksi Roki yang penuh bertenaga telah membantu Sabah menghasilkan kemenangan berharga 2-1 ke atas TFC II. Kredit: FMLLP

Pasukan Sabah berjaya mencapai target menewaskan pasukan Terengganu FC II (TFC II) dalam perlawanan ke-17, 100PLUS Liga Premier 2018 yang berlangsung pada Jumaat lalu di Terengganu dengan kemenangan tipis 2-1. Kemenangan tersebut juga telah memastikan mereka terus berada dalam landasan yang betul untuk mengintai peluang layak ke Liga Super 2019 secara automatik.

Sabah yang menewaskan pasukan TFC II 4-0 dalam perlawanan pusingan pertama di Likas Febuari lalu sekali lagi mengecewakan pasukan feeder club Terengganu FC itu hasil sumbangan gol oleh kedua-dua pemain import, Hector Ramos dan Rodoljub Punovic. Hasil kemenangan tersebut menjadikan Sabah kini mengumpul sebanyak 24 mata dan menghimpit rapat pasukan MISC-MIFA FC dan PDRM FA.

 

Sorotan perlawanan

Pasukan Sabah bermula sangat garang di awal permainan dan sepatutnya boleh mendahului 1-0 pada minit ke-15 apabila Maxius Musa berjaya melakukan jaringan. Walaubagaimanapun pengadil membatalkan jaringan tersebut kerana Maxsius Musa sudah pun berada dalam posisi offside.

Sejurus selepas itu, pasukan TFC II bangkit melakukan asakan namun percubaan mereka sama ada digagalkan oleh Rozaimie Rohim mahupun percubaan mereka sendiri yang meliar off target.

Kedudukan separuh masa pertama tamat dengan Sabah dan TFC II terikat tanpa jaringan.

Bersambung babak ke-2, pasukan Sabah mengejutkan pasukan tuan rumah dengan gol pendahuluan pada minit ke-47 menerusi penjaring terbanyak Sabah, Hector ‘Pito’ Ramos. Gol tersebut berpunca daripada gerakan cantik Sabri Sahar di sebelah kanan by-line pasukan TFC II yang seterusnya melakukan hantaran lintang in-swinger kaki kiri tepat kepada Pito untuk penyerang dari Puerto Rico itu melakukan tandukan kencang yang menggegarkan belakang jaring TFC II untuk menjadikan kedudukan 1-0 berpihak kepada Sabah.

Penyerang Sabah dari Puerto Rico, Hector Ramos menjaringkan gol ke-11 beliau bersama Sabah musim ini pada minit ke-47 ketika menewaskan TFC II, 2-1 di SSINS, Terengganu.
Kredit: FMLLP

Pasukan TFC II yang sedar mereka berada di ambang penyingkiran liga terpaksa membuat beberapa percaturan serangan. Mereka sepatutnya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-85 permainan menerusi Ridzuan Razali namun pengadil telah membatalkan jaringan tersebut kerana beliau telahpun dikesan berada dalam kedudukan offside sebelum percubaan rakan sepasukan, Bruno Suzuki dilakukan.

4 minit selepas gol pasukan TFC II dibatalkan, giliran Sabah pula menggandakan jaringan. Kali ini adalah menerusi penyerang import dari Serbia, Rodoljub Paunovic dengan satu tap-in mudah hasil rebound percubaan awal daripada Hector Ramos. Pergerakan awal dimulakan oleh Ricco Nigel Milus bersama dengan Justin Samaan. Situasi kelam kabut dalam kotak penalti TFC II itu telah disebabkan oleh hantaran lintang kaki kanan Justin Samaan.

Roki muncul penjaring gol ke-2 Sabah dalam perlawanan menentang TFC II dan juga merupakan gol pertama beliau bersama Sabah musim ini.
Kredit foto: Sabah FA Official Media / Sukan Malaysia Online

Ketika Sabah kelihatan bakal pulang dengan kemenangan 2-0, kelalaian minit akhir mereka dihukum oleh pemain gantian TFC II iaitu Firas Mohd Tarmizi apabila menolak masuk bola untuk menjadikan kedudukan 2-1. Apapun gol tersebut tidak cukup untuk menghalang Sabah membawa 3 mata penuh ke Kota Kinabalu.

 

Ikuti 5 mesej penting Jelius Ating selepas perlawanan TFC II vs Sabah

Berikut merupakan beberapa mesej penting daripada ketua jurulatih Sabah selepas berakhirnya perlawanan ini berdasarkan perkongsian yang diberikan oleh kakitangan FansKick.com :

1. Bukan kemenangan besar namun bantu perbaiki kedudukan liga

Menurut JA, walaupun kemenangan yang diperolehi hanyalah 2-1, ia sudah cukup baik bagi pasukan untuk terus memperbaiki kedudukan di dalam liga. Walaupun peluang untuk mendapatkan slot ke Liga Super musim hadapan sudah terlalu sedikit namun mendapatkan 3 mata penuh akan membantu Sabah dalam mendapat tempat ke saingan Piala Malaysia 2018.

Apa yang difikirkan JA adalah benar. Jika mereka mendapat 3 mata penuh dalam baki 3 perlawanan liga, slot ke Liga Super 2019 mungkin boleh dikecapi selagi keputusan-keputusan lain berpihak kepada Sabah. Seperti yang dibincangkan dalam artikel lepas, terdapat 3 syarat wajib yang membolehkan Sabah layak ke Liga Super musim depan.

Sabah merapatkan jurang mata dengan pasukan MISC-MIFA FC dan PDRM FA selepas kemenangan 2-1 ke atas TFC II.
Kredit: FMLLP

 

2. Sabah tunjukkan peningkatan prestasi

JA memuji para pemain kerana telah berjaya menunjukkan peningkatan prestasi dan game play  menarik seperti yang dilakukan mereka di awal saingan liga. Menurut beliau, prestasi corak permainan Sabah menunjukkan penurunan di penghujung pusingan pertama liga dan beliau telah bekerja keras bersama pemain untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Pada perlawanan ini, para pemain Sabah bermain dengan corak permainan menarik iaitu dengan pertukaran hantaran-hantaran rendah dan pendek serta kerap melakukan lintangan berbahaya. Dengan penggunaan corak seperti ini, para pemain Sabah telah berjaya menguasai perlawanan dan tidak memberikan peluang mudah untuk pasukan TFC II melakukan percubaan.

Gambar menunjukkan ‘Triangle’ yang diperagakan oleh para pemain Sabah ketika aksi menentang TFC II di awal saingan liga. Kemantapan corak permainan Sabah ini telah menymbang kepada kelancaran serkulasi bola. Apapun corak permainan seperti ini semakin kurang kelihatan menjelang penghujung pusingan pertama liga.
Kredit: FB Live Sharin Said (Sabah Rhinos)

Diharapkan prestasi yang terus meningkat ini akan dikekalkan sehingga tamat semua perlawanan liga seterusnya dalam saingan Piala Malaysia kelak.

 

3. JA memuji pemain muda; Dendy, Hamran dan Evan

JA telah membuktikan bahawa menurunkan Dendy Lowa, Hamran Peter dan Evan Wensly Wenceslaus yang sebenarnya masih bermain untuk pasukan Piala Presiden Sabah (Hamran & Evan), adalah satu tindakan yang bernas dan boleh dibanggakan apatah lagi ketika aksi di gelanggang lawan. Beliau telah menurunkan Hamran Peter kerana ketiadaan Keisuke Ogawa yang memaksa Sabri Sahar bermain sebagai DMF untuk menempatkan Hamran di sayap kiri.

Untuk Evan pula, perlawanan menentang TFC II itu merupakan perlawanan pertama beliau bersama skuad Liga Perdanda Sabah sebagai mengisi posisi yang ditinggalkan Jenius Karib berikutan mengalami kecederaan.

Evan Wensley (tengah), memperagakan permainan mantap walaupun merupakan pemain muda yang mendapat kepercayaan JA turun dalam kesebelasan utama Sabah.
Kredit: FMLLP

Beliau juga memuji kehadiran Dendy Lowa yang bermain baik sebagai Right Back selepas Randy Baruh tidak dapat beraksi berikutan penggantungan 1 perlawanan. Dalam perlawanan sebelum ini, Dendy Lowa diturunkan sebagai pemain Left Back. Ini jelas menunjukkan bahawa Dendy Lowa merupakan pemain yang fleksibel.

Menurut JA, asimilasi serta asosiasi pemain muda dan pemain sedia ada Sabah telah dibuktikan berkesan apabila banyak menyukarkan TFC II dalam membuat serangan mahupun bertahan. Diharapkan pemain-pemain muda ini akan terus diberikan ruang untuk mempamerkan bakat mereka.

 

4. JA tegaskan untuk perlu terus perbaiki masalah mudah dibolosi

JA mengatakan bahawa antara latihan yang beliau sering tekankan adalah latihan bertahan untuk tidak dibolosi dengan mudah. Menurut JA, Sabah lebih banyak dibolosi oleh kesilapan para pemain sendiri berbanding dengan kehebatan penyerang pihak lawan

Oleh itu, kita mungkin akan dapat saksikan pertahanan Sabah akan lebih baik selepas ini memandangkan mereka bakal berhadapan FELCRA FC di Likas pada 22 Julai yang mempunyai rekod gol yang baik. Untuk memastikan agar mereka tidak dibolosi dengan mudah dalam perlawanan ini kelak, maka para pemain haruslah menumpukan sepenuhnya perhatian ketika latihan dilakukan.

 

5. Harus tiada ruang untuk kesilapan mudah dalam 3 perlawanan terakhir

JA juga telah menegaskan bahawa para pemain haruslah fokus untuk menempuhi baki 3 perlawanan mereka dan dengan tujuan itu, mereka tidak seharusnya melakukan kesilapan mudah yang akhirnya akan memudaratkan pasukan sendiri.

6 keputusan seri yang Sabah perolehi setakat ini adalah hasil kesilapan mudah mereka sendiri sedangkan mereka mempunyai peluang yang cukup untuk memenangi 6 perlawanan tersebut.  Jika tiada kesilapan mudah yang dilakukan, sudah pasti mereka kini hanya menghitung hari untuk layak ke Liga Super musim hadapan.

 

Perlawanan Sabah yang seterusnya adalah perlawanan menentang pasukan Pulau Pinang di Likas pada 18 Julai ini. Perlawanan itu dijangka sengit memandangkan pasukan dengan jolokan Harimau Kumbang itu amat perlukan kemenangan agar boleh terkeluar daripada zon penyingkiran. Sokongan daripada anda, penyokong setia Sabah amatlah diharapakan ketika itu. Jadi ramai-ramailah berkunjung ke Stadium Likas pada perlawanan tersebut untuk memberikan tiupan semangat kepada Sabah untuk menempatkan mereka di kedudukan terbaik musim ini.

About the Author

B Oken Tacts
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "5 Mesej penting JA selepas Sabah menang 2-1 ke atas TFC II"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*