Sarawak vs Sabah: Borneo Derby janjikan perlawanan sengit.

Jadual perlawanan LP2018. Kredit: FMLLP

Sabah bakal mengunjungi pasukan Sarawak esok besamaan 26 Jun 2018 pada pukul 4.15 petang di Stadium Negeri, Kuching untuk perlawanan ke-16, 100 Plus Liga Premier 2018. Perlawanan ‘Borneo Derby’ ini dijangka akan berlaku sengit memandangkan kedua-dua pasukan bersaing untuk mengakhiri liga musim ini di kedudukan terbaik.

 

Prestasi terkini kedua-dua pasukan

Pasukan tuan rumah Sarawak pada ketika ini berada di kedudukan ke-8 liga daripada 11 pasukan dengan mengutip sejumlah 16 mata hasil 4 kemenangan, 4 seri dan 7 kekalahan. Pasukan yang gah dengan gelaran Skuad Bujang Senang ini telahpun menghasilkan 18 gol dan dibolosi sebanyak 23 gol. Ini bermakna mereka mempunyai jumlah jaringan sebanyak -5 gol.

Mempunyai perbezaan gol negatif bukanlah satu hal yang baik untuk sesebuah pasukan kerana ia menunjukkan bahawa pertahanan pasukan tersebut lemah dan mudah dibolosi. Apakah ini akan memberi peluang buat Sang Badak membolosi pasukan Bujang Senang?

Untuk pasukan Sabah pula, mereka kini berada di kedudukan ke-5 dengan mengutip sebanyak 21 mata melalui 5 kemenangan, 6 seri dan 4 kekalahan. Sabah kini telahpun menghasilkan 26 gol dan hanya dibolosi dengan 19 gol. Jadi, jika dibandingkan dengan jumlah jaringan, Sabah kelihatan lebih baik berbanding Sarawak. Walau apapun, keputusan perlawanan ini sukar dijangka memandangkan pasukan Sabah tidak begitu biasa bermain di sebelah petang. Sebagai rekod, Sabah bermain hanya sekali di sebelah petang ketika tewas 3-2 kepada UKM FC pada perlawanan pusingan pertama.

 

Bobby Gonzales pikul tugas berat atas ketiadaan Mateo Roskam

Ketiadaan pemain import dari Croatia, Mateo Roskam yang tidak bermain dalam 4 perlawanan terakhir Sarawak berikutan mengalami kecederaan, membuatkan Sarawak mengalami banyak keciciran mata. Dalam 4 perlawanan tersebut, Sarawak tewas 3 kali dan seri sekali.

Ketiadaan Roskam kini menyebabkan Sarawak hanya bergantung kepada Bobby Gonzalez dan Abdul Rahim di bahagian serangan. Walaubagaimanapun, Bobby Gonzalez seharusnya tidak boleh dipandang dengan sebelah mata sahaja memandangkan beliau kini sudah pun menyumbat sebanyak 10 gol buat pasukan Sarawak. Beliau juga kelihatan bakal mengecapi gelaran penjaring terbanyak Liga Perdana musim 2018 untuk kategori pemain tempatan. Christie Jayaselan dari Felda United kini berada di tangga ke-2 carta penjaring terbanyak kategori tempatan dengan 6 gol.

Bobby Gonzales tidak perlu diperkenalkan lagi kepada anda (penyokong Sabah) memandangkan Bobby merupakan orang Sabah yang banyak menabur bakti kepada Sabah dan berkelana di luar Sabah untuk meneruskan karier sebagai pemain bolasepak. Bobby kini amat sinonim dengan pasukan Sarawak kerana berjaya mencatatkan rekod sebagai penjaring terbanyak Sarawak sepanjang zaman selain bekas pemain import mereka iaitu John Hunter dan David Evans.

 

Suasana penyokong dan Stadium Negeri Kuching tidak seperti dulu

Bermain di sebelah petang merupakan suatu yang bukan lazim buat pasukan Sarawak kerana selama ini mereka bermain di sebelah malam. Tidak dinafikan bahawa situasi ini memberikan kesan yang kurang baik terhadap kedatangan para penyokong mereka. Walau apapun kedatangan penonton sudah pasti bertambah baik jika prestasi pasukan Sarawak berada di tahap memuaskan. Itu lazim bagi semua penyokong di Malaysia.

Jika melihat secara kasar di media massa, para penyokong pasukan Sarawak sudah bosan dan kurang berminat dengan corak permainan yang ditunjukkan oleh para pemain. Sampaikan terdapat segelintir penyokong Sarawak yang mengatakan bahawa tiada gunanya meneruskan latihan jika keputusan yang dihasilkan masih tidak memuaskan. Terdapat juga antara mereka yang menyifatkan bahawa jika Sarawak bermain sedemikian rupa, maka Piala FAM pasti akan menanti mereka.

 

Kombinasi gergasi Roki dan Ramos jadi taruhan

Seperti yang dibincangkan dalam artikel semalam [sini], kombinasi Ramos dan Roki ini merupakan kombinasi ‘gergasi’ memandangkan kedua-duanya merupakan penyerang tinggi lampai yang sentiasa berkelebihan dalam situasi bola tinggi, sama ada dalam dan luar kotak penalti. Sudah pasti dengan menyedari keadaan ini akan membuatkan Sabah akan amalkan melakukan hantaran lintang ke dalam kotak penalti yang lebih kerap diarahkan kepada kedua-dua mereka.

Gandingan Roki (1.83m) bersama Ramos (1.91m) merupakan rangkaian ‘gergasi’ yang boleh menyukarkan pertahanan lawan.
PC: Utusan Borneo Online

Keupayaan Roki dan Ramos dalam melakukan ball shielding dan membuka permainan sudah tentu akan menjadikan serangan Sabah bertambah lancar esok. Kehadiran semula Maxsius Musa yang mengalami penggantungan dalam perlawanan lalu sudah pasti akan menguatkan lagi serangan Sabah dari arah kanan. Sudah pasti tumpuan Sabri Sahar dan Maxsius esok adalah untuk memberikan sebanyak cross yang boleh kepada Ramos dan Roki.

Pito meraikan jaringan dengan cara ‘Backflip’ selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-82 permainan ketika menewaskan MIFA FC 3-2.
Kredit foto: Sabah FA Media Official

 

Formasi 4-4-2 perlu dikekalkan

Melihat keberkesanan formasi 4-4-2 pasukan Sabah dalam 2 perlawanan terakhir, ia wajar dikekalkan jika ingin mendapatkan 3 mata penuh di Kuching esok. Untuk pengetahuan, formasi inilah yang menyumbang kepada kemenangan 3-0 Sabah ke atas UiTM FC dan 3-2 ke atas MIFA FC tempoh hari.

Kesebelasan utama Sabah pada perlawanan menentang MIFA FC.
Perubahan ‘line up’ mungkin dilakukan kerana Maxsius Musa sudah kembali bersama pasukan.

Keisuke Ogawa dan Azizan Nordin yang semakin menampakkan keserasian ketika ini sudah pasti akan menjadi penggerak tengah buat pasukan Sabah esok. Azizan yang dikenali dengan kekuatan fizikal, pasti akan menjadi sandaran untuk melakukan ball interception bagi setiap gerakan yang dilakukan oleh pasukan Sarawak. Keisuke Ogawa pula penting untuk melarikan bola ke kawasan defensive half pasukan Sarawak kerana beliau mempunyai kelajuan yang baik.

Sabri Sahar yang sentiasa diberikan tanggung jawab dalam mengambil sepakan percuma sudah pasti akan menjalankan tugas beliau sebaiknya. Dan diharapkan agar beliau mensasarkan target beliau kepada Roki dan Ramos untuk membolehkan Sabah mencipta peluang menjaringkan gol.

Dari segi pertahanan, Rawilson Batuil yang mendapat national call up sudah pasti akan menunjukkan bahawa beliau layak berada di posisi tersebut. Bergandingan dengan Francis Kasonde di bahagian CB akan pastinya akan memastikan gawang Sabah tidak mudah dibolosi esok.

 

Hanya kemenangan yang diharapkan esok. Selamat berjuang wahai Sabah!

 

About the Author

Barman Oken Omoi
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "Sarawak vs Sabah: Borneo Derby janjikan perlawanan sengit."

Leave a comment

Your email address will not be published.


*