Kemenangan dramatik Sabah hidupkan peluang ke Liga Super 2019

Para pemain Sabah meraikan jaringan selepas jaringan kemenangan menerusi Hector Ramos. Kredit: Sabah FA Official Media Team

Sabah buktikan bahawa mereka masih tidak berputus asa untuk merebut slot automatik ke Liga Super 2019 apabila menewaskan pasukan pelawat, MIFA FC dengan kemenangan 3-2 penuh dramatik di Stadium Likas malam tadi.

Sebagai rekod, ini merupakan kemenangan ke-dua berturut-turut Sabah dalam 2 perlawanan terakhir selepas menewaskan UiTM FC 3-0 di Shah Alam pada perlawanan sebelumnya. Apa yang menarik ialah Sabah berjaya menghasilkan 3 dalam kedua-dua perlawanan tersebut. Boleh dikatakan bahawa terdapat peningkatan di bahagian serangan pasukan Sabah sejak kedatangan semula Rodoljub Paunovic.

 

Terdapat 5 perkara yang boleh The Rhinos Troops kongsikan berkenaan perlawanan semalam:

 

1.  Sabah terdesak untuk menang, MIFA FC tertekan untuk kekalkan kedudukan ke-2 liga

MIFA FC yang berada di kedudukan ke-2 liga sebelum perlawanan ini sudah pasti merasai tekanan dari semua segi kerana terdesak untuk mengekalkan kedudukan di kedudukan tersebut. Walaubagaimanapun pasukan MIFA FC dapat memulakan perlawanan dengan keyakinan yang tinggi tambahan lagi mereka mempunyai rangkaian 2 penyerang berbisa yang diketuai oleh penyerang import dari Liberia, Kpah Sean Sherman dan penyerang dari Senegal kelahiran Perancis, Imam Seydi.

Seydi (kiri) dan Sherman (2 dari kiri) merupakan gandingan serangan berbisa yang dimiliki MIFA FC.
Kredit: Sabah FA’s Official Media Team

Aksi bertenaga pasukan pelawat di separuh masa pertama berjaya menghasilkan 2 gol masing-masing pada minit ke-17 dan ke-34 yang kedua-duanya menerusi Kpah Sean Sherman. MIFA FC mempergunakan sepenuhnya peluang untuk melancarkan serangan ke kubu Sabah pada ketika Sabah masih belum ‘panas enjin’. Bijak kan?

Sabah yang dilihat harus menang dalam semua baki perlawanan liga jika ingin menghidupkan peluang layak ke Liga Super 2019 kelihatan sedikit sukar menyesuaikan diri dengan corak permainan MIFA FC di separuh masa pertama. Mereka hanya sesekali melancarkan serangan ke kubu MIFA FC namun kebanyakannya off target. Sabah harus berterima kasih kepada jaringan Rawilson Batuil pada minit ke-36 kerana jaringan tersebut telah mengurangkan defisit gol dan menyemarakkan lagi semangat di kalangan rakan sepasukan.

 

2. Line up baharu rencanakan corak permainan berbeza

Ketiadaan Mafry Balang, Jenius Karib dan Maxsius Musa menyebabkan Jelius Ating menggunakan khidmat pemain lain untuk memperagakan formasi 4-4-2 (4-4-1-1). Posisi Maxsius Musa di Sayap Kanan telah diisi oleh Hamran Peter sementara posisi Jenius Karib diisi oleh Dendy Lowa.

Kesebelasan utama Sabah pada perlawanan menentang MIFA FC semalam. Hamran Peter diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Liga Perdana Sabah buat kali pertama musim ini.
Gambar: The Rhinos Troops

Perlawanan semalam merupakan perlawanan pertama Hamran Peter sebagai pemain di dalam senarai kesebelasan utama Sabah. Hamran membalas keyakinan JA terhadap beliau dengan menghasilkan gol penyamaan menerusi rembatan leret dalam kotak penalti pada minit ke-50.

Dendy Lowa yang kurang melakukan overlap run dalam perlawanan sebelum ini telah membuktikan bahawa beliau boleh menjadi pengganti terbaik buat Jenius Karib apabila banyak membantu serangan Sabah di sebelah kanan kawasan MIFA FC semalam.

 

3. Taktikal serangan Sabah mulai efektif di separuh masa ke-2

Sabah yang sedikit tenggelam dari segi corak permainan dan serangan di separuh masa pertama mulai menunjukkan penguasaan bola penuh dari awal separuh masa ke-dua hingga wisel penamat sepenuh masa perlawanan ditiupkan.

Bersambung babak ke-2, Sabah melipat gandakan asakan sehingga mendominasi lebih 75% penguasaan bola. Kawalan bola para pemain Sabah begitu lancar sama ada dari kawasan pertahanan, sayap kiri dan kanan, tengah dan juga bahagian hadapan. Tempo permainan dan larian para pemain Sabah juga lebih pantas berbanding di separuh masa pertama.

Sabah juga kelihatan lebih unggul dalam perebutan bola udara di hampir semua kawasan padang sehingga para pemain MIFA FC kelihatan terlalu mudah kehilangan bola. Ini ditambah lagi dengan high pressing daripada para pemain Sabah yang banyak menggagalkan kawalan bola pasukan pelawat apa pada ketika penguasaan bola berpihak kepada para pemain pasukan pelawat.

Azizan Nordin kelihatan banyak melakukan tackle yang tepat dan banyak mematahkan gerakan serta hantaran para pemain MIFA FC sering diarahkan kepada penyerang mereka iaitu Imam Seydi dan Kpah Sean Sherman.

Hamran Peter yang kurang menyerlah di separuh masa pertama nampak terlalu lincah di Sayap Kanan dan sukar untuk para pemain MIFA FC melakukan kawalan terhadap beliau di separuh masa ke-2. Beliau sering mengelecek bola untuk menewaskan 2 atau 3 pemain lawan sebelum melakukan lintangan. Selain kelajuan dan dribble baik daripada Hamran, beliau juga cepat untuk turun membuat pressing kepada pemain lawan dalam situasi beliau kehilangan bola. Meletakkan Hamran di posisi itu merupakan satu taktikal yang baik dan efektif daripada JA.

 

4. Kelekaan saat akhir pertahanan MIFA FC membawa padah

Hector Ramos yang  mempunyai kemahiran kawalan bola di udara telah mempergunakan sepenuhnya kelekaan para pemain pertahanan pasukan pelawat pada minit ke-82 apabila menyambut hantaran jauh Randy Baruh yang diarahkan kepada beliau dengan satu dadaan yang tepat sebelum melakukan  rembatan leret kaki kiri yang menewaskan penjaga gol pasukan MIFA FC.

Pito meraikan jaringan dengan cara ‘Backflip’ selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-82 permainan.
Kredit foto: Sabah FA’s Official Media Team

Ramos pada ketika itu diapit oleh Baskeran Thinagaran dan ketua pasukan, S. Subramaniam namun kedua-dua pemain pertahanan MIFA FC itu hanya melihat gerak geri Ramos tanpa sempat melakukan ball clearance.

Rasa terlalu yakin boleh ‘makan’ Sabah mungkin antara faktor yang menyebabkan pasukan MIFA FC tidak begitu compose dan fokus di separuh masa ke-2. Walaupun terdapat juga percubaan ke arah gawang Sabah namun semuanya tidak membahayakan Rozaimie Rohim yang kelihatan lebih banyak bekerja keras di separuh masa pertama.

 

5. Kemenangan ini adalah hadiah Birthday buat Roki

Kemenangan 3-2 Sabah ke atas MIFA FC ini juga merupakan hadiah harijadi terbaik buat Roki yang mencecah usia genap 33 tahun pada hari perlawanan semalam (20 Jun). Impak kehadiran semula Roki bersama pasukan Sabah begitu positif sehingga mewujudkan suasana dahagakan kemenangan. Terima kasih Roki! Hvala, Roki!

Kemenangan dramatik 3-2 ke atas MIFA FC ini merupakan hadiah istimewa Roki sempena harijadi beliau yang ke-33 tahun.
Kredit foto: Sabah FA’s Official Media Team / Sukan Malaysia Online

Walaupun Roki tidak berjaya mencatatkan nama beliau sebagai penjaring dalam perlawanan ini, beliau ternyata telah menyebabkan penjaga gol MIFA FC bekerja keras untuk mengelakkan gawangnya daripada dibolosi. Antara peluang terbaik yang dihasilkan oleh Roki ialah menerusi sepakan percuma beliau yang mujur sempat ditepis keluar oleh penjaga gol pasukan pelawat di separuh masa ke-2.

Dalam proses penghasilan gol ke-2 Sabah juga menyaksikan Roki terlibat secara langsung di mana beliau melakukan lintangan dengan kaki kiri di sebelah kanan by-line pasukan MIFA FC yang berjaya menemui Hamran Peter yang tidak dikawal rapi pada minit ke-50 seterusnya memberikan gol penyamaan 2-2 buat Sabah.

 

Sabah akan bertandang ke Kuching pada 26 Jun ini untuk membuat perhitungan dengan pasukan tetanga, Sarawak dalam perlawanan liga yang ke-16 nanti. Perlawanan ini dijangka menarik memandangkan ia merupakan Borneo Derby yang sering dinantikan oleh penyokong kedua-dua pasukan. Sabah tiada pilihan lain lagi selepas ini selain memenangi kesemua baki perlawanan liga musim ini serta berharap pasukan-pasukan pencabar keciciran mata agar boleh layak secara automatik ke Liga Super musim hadapan.

About the Author

B Oken Tacts
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "Kemenangan dramatik Sabah hidupkan peluang ke Liga Super 2019"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*