Jaringan emas Sharizam Sahar ‘hantar’ Tawau FA ke Final LBR 2018!

Sharizam Sahar yang menampilkan kelajuan dan kelincahan larian serta kepakaran menggunakan kaki kiri amat menghiburkan setiap penyokong yang hadir. Kredit: Media Tawau FA

Harapan penyokong Tawau FA dan Sabah amnya untuk melihat pasukan mereka beraksi dalam pentas akhir Liga Bolasepak Rakyat Kebangsaan 2018 kini menjadi kenyataan apabila pasukan yang mewakili Sabah itu mengenepikan cabaran hebat wakil dari Kedah iaitu Bandar Baharu Kulim dengan agregat 2-1 setelah seri 1-1 meskipun hanya bermain dengan 10 orang dari awal babak permainan dalam perlawanan Separuh Akhir Ke-2 sebentar tadi (21 April 2018).

Kesebelasan utama pasukan Tawau FA yang beraksi cukup cemerlang sepanjang LBR 2018 berlangsung.
Kredit foto: Persatuan Bolasepak Tawau – SAFA Tawau.

Bermain di hadapan ribuan penyokong yang membanjiri Stadium Utama Kompleks Sukan Tawau nampak begitu menyemarakkan semangat perjuangan pasukan Tawau FA walaupun mereka terpaksa menerima risiko tinggi apabila pemain tonggak mereka, Mohd Khairul Kamaruddin dilayangkan kad merah di awal babak pertama permainan dan mengakibatkan mereka tertekan menghadapi serangan pasukan Bandar Baharu dengan harapan tertumpu kepada strategi pertahanan mereka yang mantap.

Tamat separuh masa pertama, pasukan Tawau FA bagaimanapun tetap unggul apabila berjaya mempertahankan kedudukan terikat tanpa jaringan.

Bersambung babak ke-2, pasukan Bandar Baharu yang menyedari kelebihan jumlah pemain mereka telah menggandakan asakan demi asakan sehingga berjaya mendapatkan gol pertama dalam tempoh 3 minit pertama permainan di separuh masa ke-2. Asakan bertalu-talu seterusnya dilakukan Bandar Baharu namun gagal menembusi benteng pertahanan Tawau FA yang diketuai penjaga gol utama, Datu Mohd Armin dan ketua pasukan, Mikkael Stepanus James.

Hero Tawau FA: Sharizam Sahar muncul hero pasukan Tawau FA apabila menjaringkan gol penyamaan sekali gus menempatkan Tawau FA ke Final LBR 2018.
Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Tawau – SAFA Tawau.

Tatkala keputusan bakal berakhir dengan agregat 1-1 dan perlawanan diheret ke Masa Tambahan 30 minit, pasukan Tawau FA mendapat peluang keemasan di minit-minit akhir permainan apabila penjaga gol Bandar Baharu ‘tertidur’ seketika yang berjaya membenarkan sepakan kencang leret kaki kiri oleh Sharizam Sahar menerjah jaring untuk menyamakan kedudukan 1-1 sekali gus mengubah agregat 2-1 berpihak kepada pasukan Tawau FA. Penjaga gol Bandar Baharu hanya mampu melihat sepakan kencang Sharizam Sahar yang seakan-akan sepakan Marcelo itu melepasi jaring di sebelah kiri tiang gol mereka.

Video berikutnya menunjukkan jaringan cantik yang berjaya dihasilkan oleh Sharizam Sahar yang menggembirakan kebanyakan penyokong Tawau yang membanjiri Stadium Tawau di SINI

Pasukan Tawau FA yang menewaskan pasukan Bandar Baharu ini bakal berhadapan dengan pasukan yang mewakili negeri Kelantan iaitu Rantau Panjang di perlawanan akhir yang dijangka akan berlangsung pada tarikh dan tempat yang akan diumumkan kelak. Pasukan Rantau Panjang menewaskan pasukan Tentera Darat FA dengan away goal rules setelah agregat terikat seri 5-5.

Khairul Kamaruddin (jersi no. 53), empat dari kiri, menerima Kad Merah dalam perlawanan Separuh Akhir Ke-2 menentang Bandar Baharu dan bakal terlepas aksi Final bertemu Rantau Panjang EJD.
Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Ipoh.

Tugas getir menanti pasukan Tawau FA dalam perlawanan akhir nanti kerana terpaksa beraksi tanpa pemain sayap kanan mereka, Mohd Khairul Kamaruddin yang dilayangkan kad merah sebentar tadi. Ketua Jurulatih pasukan Tawau FA sudah pasti mempunyai percaturannya sendiri bagi menghadapi pasukan Rantau Panjang itu di perlawanan akhir nanti.

Ini merupakan kali pertama pasukan dari Sabah layak ke perlawanan akhir Liga Bolasepak Rakyat Kebangsaan setelah Keningau kandas di saingan separuh akhir pada LBR Edisi 2017.

About the Author

Barman Oken Omoi
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "Jaringan emas Sharizam Sahar ‘hantar’ Tawau FA ke Final LBR 2018!"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*