Sabah Uji Brunei DPMM FC Esok!

Perlawanan Persahabatan Antarabangsa di antara Brunei DPMM FC dan Sabah pada 2 April 2018.

Pasukan Liga Perdana Sabah akan menguji kekuatan dan persediaan pasukan Brunei DPMM FC untuk mengharungi Liga Singapura bagi musim 2018 dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa yang dijadualkan esok bersamaan 2 April 2018, pukul 8.15 malam bertempat di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam. Masuk adalah percuma. Pasukan Sabah sudah pun selamat sampai di bumi Brunei DS sekitar 11 pagi hari ini.

 

Sejarah Penubuhan Brunei DPMM FC

Brunei DPMM FC atau Duli Pengiran Muda Mahkota FC Brunei ini ditubuhkan sejak tahun 1994 lagi. Namun pada ketika itu pasukan tersebut hanyalah pasukan berstatus kolej yang bertanding di peringkat kolej dan universiti sekitar Brunei DS sahaja.

Kekuatan dan dominasi Brunei DPMM FC pada ketika itu akhirnya berhasil merangkul banyak kejuaraan di peringkat kolej dan kelab tersebut dikomersialkan pada tahun 2000 sehingga dapat bertanding di peringkat yang lebih tinggi. Sejak itu pasukan Brunei DPMM FC berjaya memenangi Brunei Premier League dan Brunei FA Cup sekitar 2002 hingga 2004.

 

Brunei DPMM FC Di Liga Malaysia

Pada tahun 2005, pasukan Brunei DPMM FC telahpun menyertai Liga Malaysia iaitu dalam Liga Perdana 2005. Hanya semusim berada di Liga Perdana, pasukan DPMM FC terus layak ke Liga Super dan mendapat kedudukan ke-3 dalam Liga Super 2006/07. Walaubagaimanapun, musim seterusnya (2007/08) menyaksikan pasukan Brunei DPMM FC hanya berada di tangga ke-10 dan terpaksa meninggalkan Liga Malaysia atas sebab dalaman Persatuan Bolasepak Brunei.

 

Brunei DPMM FC Di Liga Singapura

Pada tahun 2009, Brunei DPMM FC mengorak langkah pantas dengan menyertai Liga Singapura buat kali pertama. Pada tahun yang sama, pasukan yang dikenali dengan jolokan Red Black itu muncul juara Piala Liga Singapura pada sekitar Jun 2009. Tiga bulan selepas kejayaan itu bermulanya sejarah hitam Persatuan Bolasepak Brunei apabila menerima hukuman penggantungan oleh FIFA atas sebab campur tangan politik di dalam bolasepak Brunei DS.

Pasukan Brunei DPMM FC memenangi Liga Singapura buat kali pertama pada 2015.
Kredit: The Scoop

Setelah bebas dari penggantungan FIFA pada 2012, pasukan Brunei DPMM FC bingkas bangun dan menyertai Liga Singapura sekali lagi dan menjadi antara pasukan terkuat sejak penyertaan ke liga tersebut. Paling manis ialah pasukan Brunei DPMM FC memenangi Liga Singapura buat kali pertama pada musim 2015. Apapun selepas Football Association of Singapore mengumumkan pengurangan pemain import untuk pasukan yang bertanding dalam Liga Singapura pada tahun 2016 menyebabkan kemerosotan pasukan Brunei DPMM FC kerana terpaksa bergantung secara maksimal dengan kudrat pemain muda dan tempatan sehingga mempengaruhi prestasi mereka. Mereka akhirnya meninggalkan Liga Singapura pada tahun 2017.

 

Hasrat Untuk Bermain Dalam Liga Malaysia 2018 Tidak Kesampaian

Hasrat Brunei DPMM FC untuk bermain dalam Liga Malaysia pada musim 2018 hancur berkecai apabila FAM dan FMLLP memberikan syarat yang sukar untuk mereka penuhi. Antara syarat yang dikemukakan oleh FAM dan FMLLP ialah pasukan Brunei DPMM FC haruslah bermain di luar Brunei ketika perlawanan home mereka dan pemain Brunei yang bermain di dalam pasukan Brunei DPMM FC dianggap sebagai pemain import. Dengan itu, Brunei DPMM FC menguburkan hasrat mereka bermain di Liga Malaysia kerana memikirkan bahawa syarat tersebut adalah melampau dan tidak profesional.

 

Kembali Beraksi Dalam Liga Singapura Untuk Musim 2018

Setelah Football Association of Singapore mengubah peraturan baharu untuk Liga Singapura 2018 iaitu 3 pemain import dibenarkan untuk setiap pasukan, Brunei DPMM FC tertarik dan memutuskan untuk kembali mengikuti Liga Singapura. Untuk itu mereka telahpun mengambil 3 pemain import untuk memperkuatkan pasukan mereka.

 

Perlawanan Menentang Sabah Persiapan Terakhir Brunei DPMM FC

Perlawanan persahabatan kompetatif menentang pasukan Sabah pada esok bersamaan 2 April 2018 merupakan perlawanan persediaan terakhir bagi mereka sebelum menentang pasukan Home United dalam perlawanan pembukaan Liga Singapura 2018.

Pasukan Brunei DPMM FC sudahpun melakukan jelajah Thailand untuk mengenalpasti sejauh mana persediaan mereka dalam menghadapi Liga Singapura itu nanti.

 

Jurulatih, Pemain  Import Dan Pemain Kebangsaan Brunei Kuatkan Pasukan

Jurulatih pasukan Brunei DPMM FC adalah bekas jurulatih Bawah 20 Tahun Brazil, Rene Weber.

Pasukan Brunei DPMM FC dibarisi oleh rata-rata pemain muda kebangsaan Brunei mahupun pamain senior kebangsaan Brunei. Ini sudah pasti akan menguatkan lagi pasukan ini dalam menghadapi Sabah esok. Antara pemain tempatan Brunei yang perlu diberikan perhatian khusus ialah ketua pasukan Brunei Sendiri iaitu Sharazen Said. Beliau setakat ini telah pun menjaringkan 8 gol untuk pasukan negara Brunei dalam kesemua pertandingan peringkat antarabangsa yang beliau lalui.

Pemain import untuk pasukan ini juga tidak kurang hebatnya. Pasukan ini diperkuatkan lagi dengan kehadiran bekas pemain pertahanan skuad kebansaan Ireland Utara pada tahun 2006 iaitu Brian McLean. Dua lagi pemain import pasukan Brunei DPMM FC ialah bekas pemain tengah Bawah 21 Tahun Ukraine, Volodymyr Pryiomov dan penyerang dari Iran, Mojtoba Esmaelzadeh Mostafa.

Brian McLean dari Ireland Utara kuatkan pertahanan Brunei DPMM FC.
Kredit: Sky Sports

 

Rekod Pertemuan Brunei DPMM FC vs Sabah

Setakat ini, pasukan Brunei DPMM FC hanya bertemu sekali sahaja dengan pasukan Sabah iaitu pada tahun 2012 yang mana dimenangi oleh pasukan tuan rumah, Brunei DPMM FC dengan jaringan 3-1 hasil sumbangan gol oleh Tales Ricarte Dos Santos, gol sendiri oleh Rosdin Wasli dan Fakharrazi Pg Hj Hassan. Gol tunggal Sabah pula dihasilkan oleh pemain berdarah Australia-Malaysia, Brendan Gan.

Sejak itu, Sabah dan Brunei DPMM FC tidak lagi bertemu. Apapun, salah seorang bekas pemain import Brunei DPMM FC dari Brazil, Tales Ricarte Dos Santos pernah hampir bermain dengan pasukan Sabah pada 2015 namun kehadiran El Hadji Diouf yang membawa bersama rakan senegara (Senegal) beliau, Abdoulaye Faye telah menyebabkan Dos Santos tidak mendapat tempat di dalam pasukan sebagai pemain Centre Back.

 

Perlawanan Pengisian ‘Cuti Panjang’ Buat Sabah

Setelah seri 1-1 dengan pasukan MISC-MIFA FC dalam perlawanan ke-5 100 Plus Liga Premier 2018 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 12 Mac lalu, pasukan Sabah medapat ‘cuti panjang’ berikutan penangguhan jadual Liga Malaysia bagi memberikan laluan buat persediaan pasukan Kebangsaan Malaysa untuk menghadapi Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Kelas ‘A’ dan perlawanan pelengkap jadual Kelayakan Piala Asia 2019.

Sabah berada di kedudukan ke-2 100 Plus Liga Premier 2018 selepas 5 perlawanan yang dilalui.
Sumber: Futbol24

Memandangkan 100 Plus Liga Premier 2018 hanya akan bersambung pada 10 April ini, pasukan Sabah telahpun membuat perancangan rapi dengan menguji tahap kesediaan mereka untuk menentang pasukan UiTM FC nanti dengan melakukan perlawanan persahabatan antarabangsa. Perlawanan persahabatan antarabangsa pertama mereka ialah pada 26 Mac lalu menyaksikan Sabah menumpaskan pasukan Bawah 21 Tahun Brunei DS dengan jaringan 5-0 yang kesemuanya dihasilkan dalam masa 45 minit pertama permainan.

Perlawanan menentang pasukan Brunei DPMM FC pada esok merupakan perlawanan persahabatan antarabangsa ke-2 mereka sebelum meneruskan kempen 100 Plus Liga Premier 2018 kelak. Perlawanan ini bakal menyaksikan Sabah akan menurunkan pemain kesebelasan utama mereka seperti mana kesebelasan utama yang diterapkan ketika aksi liga.

 

Formasi 3-5-2 Lagi Atau 4-4-2?

Semoga dengan aksi persahabatan ini akan dapat menguatkan lagi persefahaman antara pemain dan akan dapat meningkatkan lagi kualiti persembahan. Dari segi formasi, kehadiran Francis Kasonde di dalam pasukan Sabah menyebabkan ketua jurulatih, Jelis Ating mempraktikkan formasi 3-5-2. Walauapapun kelihatan formasi ini agak kurang efektif dari segi keputusan. Sejak pengimplementasian formasi ini, Sabah seri sebanyak 3 perlawanan 90 minit (seri 1-1 90 minit bertemu Sarawak, seri 1-1 90 minit bertemu JDT dan seri 1-1 90 minit bertemu MISC-MIFA FC).

Jika dibandingkan dengan keputusan yang diperolehi dengan penggunaan formasi 4-4-2, pasukan Sabah menang 2 dan 1 kali seri dalam saingan 100 Plus Liga Premier 2018. Mereka menang 4-0 ke atas Terengganu FC II, menang 2-0 ke atas PDRM FC dan seri 1-1 bertemu FELCRA FC.

Berdasarkan pandangan para pengikut setia The Rhinos Troops, formasi 4-4-2 lebih baik untuk diguna pakai berdasarkan undian yang dibuat pada 8 Mac 2018. Kita tunggu dan lihat.

Hasil undian menunjukkan kebanyakan penyokong Sabah lebih tertarik dengan formasi 4-4-2.

Semoga Kemenangan Milik Sabah

About the Author

Barman Oken Omoi
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "Sabah Uji Brunei DPMM FC Esok!"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*