‘Borneo Derby’ Sabah vs Sarawak janjikan pertembungan sengit di Likas.

Pemain Sabah, Suharmin Yusof (kiri) memerhati perebutan bola pemain Sarawak, Roslan Yusof (dua dari kiri) dengan seorang lagi pemain Sabah, Abdullah Awang Adi sambil diperhatikan oleh Ibrahim Mentali dari belakang. Pasukan Sabah dan Sarawak merupakan antara gergasi bolasepak di Malaysia suatu ketika dahulu. Kredit gambar: sarawakfootballshirt.com Deskripsi: B Oken Tacts (TRT)

Perlawanan Sabah menentang Sarawak ini merupakan perlawanan ‘Borneo Derby’ yang sering kali di tunggu-tunggu oleh penyokong ke dua-dua pasukan. Slogan ‘dalam padang kita musuh, luar padang kita kawan’ sering dilaungkan oleh penyokong kedua-dua pasukan. Pertembungan Sabah dan Sarawak di Likas esok (hari ini) pada pukul 8.15 malam bakal menjanjikan suatu perlawanan yang sengit lagi mendebarkan.

 

Sebelum perlawanan ini berlangsung ada baiknya kita melihat serba sedikit berkenaan kedua-dua pasukan ini dalam pelbagai aspek.

 

Rekod pertemuan Sabah dan Sarawak.

Kedua-dua pasukan sering bertemu antara satu sama lain sejak tahun 1950 dalam pertandingan Piala Borneo. Untuk pengetahuan, Sabah memenangi Piala Borneo 13 kali dalam 23 edisi sementara Sarawak memenangi sebanyak 7 kali. Brunei Darussalam pula hanya memenangi kejohanan itu sebanyak 3 kali.

Pemain Sabah, Suharmin Yusof (kiri) memerhati perebutan bola pemain Sarawak, Roslan Yusof (dua dari kiri) dengan seorang lagi pemain Sabah, Abdullah Awang Adi sambil diperhatikan oleh Ibrahim Mentali dari belakang ketika aksi Liga Perdana  musim 1997.
Pasukan Sabah dan Sarawak merupakan antara gergasi bolasepak di Malaysia suatu ketika dahulu.
Kredit gambar: sarawakfootballshirt.com .    Deskripsi: B Oken Tacts (TRT)

Pasukan Sarawak dikatakan mempunyai badi bertemu Sabah kerana setiap kali bertemu dengan pasukan Sabah, pasukan yang gah dengan timangan Skuad Bujang Senang itu sering mengalami kesukaran untuk menang sama ada bermain di Likas mahupun di Kuching.

Kali terakhir mereka bertemu ialah dalam perlawanan persahabatan di pertengahan musim 2017 yang menyaksikan Sabah menewaskan Sarawak sebanyak 2 kali iaitu dengan jaringan 3-2 (16 Jun 2017 di Stadium Likas) dan 2-1 (18 Jun 2017 di Kompleks Sukan UMS).

Aksi keras ketua pasukan Sabah, Rawilson Batuil (bawah) ketika menghadang Mateo Roskam dalam perlawanan persahabatan di Stadium Likas pada 16 Jun 2017. Sabah menang 3-2.
Gambar: Shoot Sampei Bisak Net Tiang Gol Ya.    Deskripsi: B Oken Tacts (TRT)

 

Prestasi semasa pasukan Sabah

Sabah berada di kedudukan ke-2 Liga Perdana 208 ketika ini dengan mencatatkan 2 kemenangan dan 1 seri dalam 3 perlawanan awal liga, 2 mata di belakang pendahulu, Felda United yang kini mengumpul 9 mata.

Sabah ketika ini sudah menghasilkan 7 gol menerusi kemenangan 4-0 ke atas Terengganu FC II di Likas pada 2 Feb 2018, menang 2-0 ke atas PDRM FA di Likas pada 9 Feb 2018 dan seri dengan pasukan FELCRA FC 1-1 di Stadium Shah Alam pada 6 Feb 2018.

Penjaring utama Sabah pada ketika ini ialah Rawilson Batuil dan Lee Gil Hoon dengan masing-masing 2 gol sementara Maxius Musa, Heo Jaenyeong dan Hector Ramos Lebron menjaringkan 1 gol.

Lee Gil Hoon (kiri) dan Rawilson Batuil (dua dari kiri) masing-masing sudah menjaringkan 2 gol buat pasukan Sabah buat setakat ini. Heo Jaenyeong (kanan sekali) turut sudah menyumbang 1 gol buat Sabah sementara Sabri Sahar (dua dari kanan) telah menghasilkan 3 ‘assist’ dalam 3 perlawanan Sabah.
Kredit gambar: Sabah Football Association / Sabah Media Official.
Deskripsi: B Oken Tacts (TRT)

 

Prestasi semasa pasukan Sarawak

Sarawak ketika ini berada di kedudukan ke-4 Liga Perdana 2018 dengan 4 mata hasil daripada 1 kemenangan, 1 seri dan 1 kalah.

4 gol telah pun dikumpul skuad The Crocs ini menerusi kemenangan 1-0 ke atas Kuantan FA, seri 1-1 dengan Terengganu FC II dan tewas mengejut 2-3 kepada FELCRA FC.

Penjaring utama pasukan Sarawak pula adalah anak jati Sabah sendiri iaitu Bobby Gonzales dengan 2 gol dan 1 gol buat Mateo Roskam dan Abdul Rahim Abdul Razak.

Anak jati Sabah, Bobby Gonzales cuba dikawal ketat oleh pemain pertahanan FELCRA FC, Shahrom Kalam (kanan) dan Alif Shamsudin (kiri) ketika tewas 2-3 di Kuching dalam perlawanan ke-3 Liga Perdana 2018.  Bobby ketika ini sudah mencetak 2 gol bersama skuad Sarawak dalam 3 perlawanan terakhir mereka.
Gambar: Berita Harian.  Deskripsi: B Oken Tacts (TRT)

 

Suasana Positif dalam kem pasukan Sabah

 Cuti 2 minggu selepas kemenangan 2-0 di laman sendiri menentang pasukan PDRM FA 9 Feb lepas sudah pasti menggembirakan jurulatih pasukan Sabah, Jelius Ating. Ini kerana mereka mempunyai cukup waktu untuk rehat dan mempersiapkan taktikal serta ‘game plan’ baru mereka menjelang pertemuan dengan pasukan jiran mereka, Sarawak.

Maxius Musa dan Mafry Balang yang mengalami kecederaan dalam perlawanan menentang The Cops kini sudahpun pulih sepenuhnya dan cergas untuk diturunkan menentang Sarawak nanti.

Kemunculan semula Francis Kasonde di dalam kem pasukan Sabah nampaknya memberikan suntikan semangat yang baru kepada para pemain.

 

Perubahan formasi Sabah dalam pertemuan menentang Sarawak

 Kemasukan Francis Kasonde di dalam pasukan Sabah nampaknya telah sedikit sebanyak mengubah taktikal dan formasi JA. Dengan adanya bekas pemain pertahanan serba boleh skuad Zambia itu nampaknya telah memberi bayangan yang Sabah bakal menerapkan formasi 3-5-2 seperti yang mereka praktikkan di pusingan ke-2 Liga Perdana 2017.

Formasi dan barisan pemain yang bakal diaplikasikan oleh skuad Jelius Ating dalam perlawanan menentang Sarawak.

Apapun nampaknya Randy Baruh atau pun Jenius Karib dilihat bakal diletakkan di bangku simpanan untuk mengaplikasikan formasi dan taktikal tersebut.

Dengan formasi ini, Sabah bakal menggunakan khidmat 3 pemain Center Back utama mereka iaitu Francis Kasonde, Rawilson Batuil dan Mafry Balang bagi mengekang asakan pasukan Sarawak yang ditunjangi oleh anak jati Sabah sendiri iaitu Bobby Gonzales dan pemain import dari Croatia, Mateo Roskam.

Sayap kanan sudah pasti akan menjadi milik Maxius Musa yang baru sahaja menjaringkan gol pertama beliau musim ini dalam perlawanan menentang PDRM FA yang lepas. Kecederaan buku lali yang beliau alami akibat menghadang sepakan daripada kapten PDRM FA, Kamal Rodiarjat 9 Feb lalu kini sudahpun pulih. Kepantasan dan kelincahan Maxius Musa sudah pasti akan mengucar kacirkan benteng pertahanan pasukan Sarawak.

Di kawasan sayap kiri, Jelius Ating sudah pasti akan membuat keputusan yang sukar memandangkan terdapat banyak pilihan yang beliau miliki untuk diturunkan di bahagian tersebut. Jenius Karib yang beraksi sebagai pertahanan kiri selalunya akan membuat larian ‘overlapping’ di kawasan sayap kiri dan kadang kala melakukan larian solo yang bagus dan banyak memperdayakan pertahanan lawan.

Selain Jenius, terdapat Elias Sulaiman dan Justin Samaan yang boleh beraksi di kawasan tersebut malah mereka berdua merupakan pemain sayap kiri asli. Elias Sulaiman merupakan bekas pemain Pulau Pinang yang berpengalaman sementara Justin Samaan pula merupakan bekas pemain Piala Presiden Sabah yang masih belum mendapat ‘debut’ Liga Perdana beliau untuk setakat 3 perlawanan awal.

Di bahagian tengah Sabah sudah pasti akan dikemudikan oleh Heo Jaenyeong, Azizan Nordin dan Sabri Sahar. Bergantung kepada keperluan taktikal, Lee Gil Hoon mungkin akan turun ke bahagian tengah dan membiarkan Hector Ramos Lebron di atas.

 

Pertuduhan skandal mengatur perlawanan jejaskan persiapan pasukan Sarawak

 Persiapan pasukan Sarawak untuk menghadapi Sabah dilihat mengalami sedikit ketempangan berikutan dakwaan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) bahawa terdapat 2 pemain mereka sendiri telah terlibat dalam skandal mengatur perlawanan ketika aksi menentang FELCRA FC di Kuching yang mana The Crocs tumpas 2-3 menerusi gol hatrik Anselmo Arruda Da Silva dalam tempoh hanya 5 minit terakhir permainan.

Hafiz Abu Bakar (kiri) dan Mazwandi Zakaria (kanan) didapati tidak bersalah atas pertuduhan skandal mengatur perlawanan apabila tewas mengejut 2-3 kepada FELCRA FC.
Kredit Gambar: Kosmo.              Deskripsi: B Oken Tacts (TRT)

 Walaubagaimanapun, pertuduhan ke atas pemain pertahanan, Mazwandi Zakaria dan Hafiz Abu Bakar tidak kemana apabila kedua-dua mereka didapati tidak bersalah hasil siasatan lanjut yang dibuat oleh SPRM.

Keadaan ini sudah pasti telah mengundang masalah persefahaman pemain dan pengurusan pasukan Sarawak. Ramai penyokong Sarawak mendesak kedua-dua pemain yang tertuduh itu harus menuntut hak mereka dengan saman malu ke atas pertuduhan yang telah menjejaskan maruah diri dan keluarga mereka.

 

Hukuman FMLLP terhadap Sarawak yang gagal dalam proses pendaftaran pasukan Liga Malaysia 2018

 Kegagalan dan keterlambatan FAS dalam melakukan proses pendaftaran pasukan Sarawak untuk Liga Malaysia 2018 sudah pasti telah mencetuskan pergolakan dalaman. FMLLP yang selama ini tegas dalam pendirian mereka sudah pasti akan memberikan denda yang setimpal untuk pasukan yang gagal mematuhi ketetapan yang mereka telah berikan. Pemotongan mata misalnya merupakan antara denda yang biasanya diberikan oleh FMLLP bagi pasukan yang gagal menghormati terma dan syarat pertandingan liga.

Dengan permasalahan yang terdapat di dalam kem pasukan Sarawak ini, adakah motivasi para pemain juga akan menurun? Secara teorinya, sudah pasti. Namun para pemain Sarawak harus bersikap matang dalam hal ini dan melakukan tugas mereka sebagai pemain professional seperti biasa.

 

Prestasi awal Sarawak kurang meyakinkan

 Mungkin masih terlalu awal untuk membuat penilaian ke atas pasukan kendalian Ian Gilian ini. Apapun berdasarkan kepada 3 aksi awal mereka, persembahan kurang meyakinkan sering menhantui pasukan The Crocs itu. Contohnya, mereka hanya menang dengan jaringan 1-0 ketika menewaskan pasukan Marcerra Kuantan FA dalam perlawanan pertama liga walaupun pasukan The Seagulls ketika itu mempunyai masalah pendaftaran pemain. Akibat masalah tersebut ramai pemain utama mereka tidak dapat diturunkan termasuklah kesemua pemain import mereka.

Ketika menentang pasukan Terengganu FC II pula, mereka dibolosi di minit-minit awal permainan dan hanya berjaya menghasilkan gol penyamaan di penghujung babak ke-2. Walaupun banyak peluang yang mereka miliki, mereka masih mempunyai kesukaran untuk menterjemahkannya dalam bentuk jaringan.

Kim Chi Gon (belakang) merupakan pemain pertahanan sandaran buat Sarawak dalam pertemuan dengan Sabah. Beliau sebelum ini dilanda kecederaan dan dijangka akan kembali beraksi.
Kredit Gambar: Sarawak Crocs.
Deskripsi: B Oken Tacts (TRT)

Tewas 2-3 kepada pendatang baru Liga Perdana 2018, FELCRA FC pula disebabkan oleh kehilangan tumpuan di minit-minit akhir yang mengundang padah. Kim Chi Gon yang menjadi tunjang kepada bahagian pertahanan pasukan Sarawak dikeluarkan kerana mengalami kecederaan di penghujung babak perlawanan yang seterusnya memberikan impak negatif kepada pasukan Sarawak pada ketika itu.

 

Sabah gah di atas kertas namun sebarang kemungkinan boleh berlaku di atas padang

 Dengan pencapaian positif setakat ini, Sabah dilihat mempunyai kelebihan di atas kertas namun mereka harus sedari bahawa walaupun Sarawak dilanda masalah, mereka pasti akan berjuang tanpa tekanan dan berkemungkinan sudah mempelajari serta memperbaiki kesilapan yang mereka lakukan selama ini. Hal inilah yang harus diingat oleh Jelius Ating dan anak-anak buah beliau.

Sarawak pula harus bermain secara normal tanpa perlu diganggu oleh situasi pengurusan FAS yang sedikit terumbang ambing pada ketika ini. Tiada lain yang mereka harus lakukan ketika menentang Sabah selain daripada berusaha mendapatkan 3 mata penuh. Para pemain Sarawak juga dilihat perlu menunjukkan kepada penyokong setia mereka bahawa mereka bermain sehabis baik demi lambang di jersi mereka.

 

Perlawanan sengit bakal disaksikan di Likas

Memandangkan perlawanan ini merupakan perlawanan ‘Borneo Derby’ dan tradisi, sudah pasti tumpuan kesemua penyokong bolasepak tempatan di Borneo akan tertumpu di Utara Borneo. Dijangkakan kedatangan penonton dalam perlawanan ini adalah luar biasa ditambah pula dengan prestasi Sabah yang memberansangkan setakat ini serta jarak untuk penyokong Sarawak datang ke Likas tidaklah begitu jauh.

Walaupun perlawanan ‘Borneo Derby’ sering dimenangi Sabah, tidak mustahil skuad kendalian Ian Gillian dapat melakukan kejutan di Likas.

Kedua-dua pasukan mempunyai misi-misi mereka yang tertentu dalam perlawanan ini, jadi pertemuan ini bakal menyajikan kepada anda sebuah pertembungan yang hebat dan penuh dengan debaran.

Selamat maju jaya buat kedua-dua pasukan dari kepulauan Borneo ini!

About the Author

Barman Oken Omoi
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "‘Borneo Derby’ Sabah vs Sarawak janjikan pertembungan sengit di Likas."

Leave a comment

Your email address will not be published.


*