6 Perkara Yang Wajib Anda Ketahui Dalam Kemenangan 2-0 Sabah Ke Atas PDRM.

Kredit: Sharin Said (Sabah Rhinos). Edit: B Oken Tacts (TRT).

*

Walaupun keputusan akhir berpihak kepada pasukan Sabah dengan jaringan 2 gol tanpa balas, ada eloknya untuk anda ketahui peristiwa atau hal-hal penting yang berlaku dalam 1 jam 30 minit tempoh permainan di antara Sabah dan pasukan The Cops, PDRM FA.

Oleh hal itu, di sini terdapat 6 perkara yang wajib anda ketahui sebagai penyokong Sabah:

1. Maxius Musa: ‘From Zero to Hero’ Maxius Musa yang melepaskan sekurang-kurangnya 4 peluang keemasan dalam perlawanan menentang FELCRA FC dalam perlawanan ke-2 Liga Perdana 2018, telah membuktikan kepada penyokong Sabah dalam perlawanan ini bahawa beliau masih berbisa dan merupakan antara peledak gol utama untuk pasukan Sabah. Gol pertama Sabah yang hadir pada minit ke-16 permainan telah dihasilkan oleh Maxius Musa setelah berjaya memanfaatkan peluang terhidang di hadapan pintu gol PDRM yang ternganga berikutan satu situasi kelam kabut dan salah faham di antara penjaga gol PDRM FA, Wilfred Jabun dan pemain pertahanan mereka iaitu Kamal Rodiarjat dan Argzim Redzovic.

Situasi 1: Maxius Musa berada di luar kotak penalti Sabah untuk memberikan sokongan kepada barisan pertahanan.
Kredit: Sharin Said (Sabah Rhinos).
Edit: B Oken Tacts (TRT).

Situasi 2: Maxius Musa membuat satu hantaran ke hadapan melalui satu ‘brak attack’. Beliau terus melakukan larian ke kawasan pasukan PDRM FA.
Kredit: Sharin Said (Sabah Rhinos)
Edit: B Oken Tacts

Situasi 3: Maxius Musa yang meluru ke hadapan berjaya melakukan satu sepakan ke arah gawang gol PDRM FA yang terbuka luas seluas Laut China Selatan.
Kredit: Sharin Said (Sabah Rhinos). Edit: B Oken Tacts (TRT).

Gol tersebut sebenarnya adalah hasil usaha keras Maxius Musa yang memulakan ‘counter attack’ Sabah yang berjaya mencari Hector Ramos dan hasil kawalan daripada Hector itu memberikan ruang buat Maxius Musa yang pantas memberikan bantuan serangan, untuk melakukan satu sepakan lemah sahaja yang menggegarkan jaring pasukan pelawat.

2. Sabri Sahar: ‘Assist’ ke-3 dalam 3 perlawanan Sabah

Tidak boleh disangkal lagi bahawa pemain kelahiran Putatan itu sangat cemerlang dalam eksekusi situasi bola mati apabila beliau sudahpun mencatatkan 3 ‘assist’ dalam 3 perlawanan beliau bersama Sabah hingga setakat ini. Sabri menghasilkan 2 ‘assist’ ketika Sabah menewaskan TFC II 4-0 dan terbaru semalam menghasilkan ‘assist’ menerusi sepakan percuma yang berjaya ditanduk dengan kemas oleh pemain import dari Korea Selatan, Heo Jaenyeong pada minit ke-67 permainan.

3. Sabah memanfaatkan peluang terhidang

Sabah yang hanya sekadar seri 1-1 dengan pasukan FELCRA FC dalam perlawanan ke-2 LP2018 harus menyalahkan diri sendiri kerana mereka tidak memanfaatkan kesemua peluang yang mereka miliki untuk diterjemahkan kepada gol. Namun ianya berbeza dalam perlawanan ini. PDRM FA yang nyata lebih dahagakan gol membuatkan Sabah lebih memperkemaskan bahagian pertahanan mereka dan hanya sesekali melakukan serangan balas. Peluang Sabah boleh dikira dalam perlawanan ini namun peluang tersebut berjaya disudahkan dalam bentuk jaringan gol. Ini bermaksud, mereka efektif dalam bertahan dan klinikal dalam penyudahan. Walaupun begitu, terdapat beberapa peluang baik daripada Sabah hadir pada minit-minit akhir permainan namun pemain gantian, Leopold Alfonso dan Ummareng Bacok kelihatan agak kurang bernasib baik kerana percubaan mereka dihalang oleh penjaga gol pasukan PDRM FA.

4. Semangat perjuangan secara berpasukan

Bermain dalam satu unit telah terbukti berkesan sama ada dalam proses bertahan mahupun menyerang. Asakan demi asakan yang dilakukan pasukan pelawat nampak begitu mudah dipatahkan oleh barisan pemain Sabah yang turun ke kawasan sendiri secara satu unit. Ini bermakna, kesemua pemain Sabah bekerjasama secara kolektif untuk mengeluarkan bola daripada kawasan berbahaya.

Sabah bermain dengan 1 unit serta berdisiplin dalam mengekalkan formasi yang diarahkan oleh JA. 4-5-1 dalam rajah ini.
Kredit: Sharin Said (Sabah Rhinos).
Edit: B Oken Tacts (TRT).

Hector Ramos yang turun sebagai penyerang utama Sabah pada perlawanan ini terpaksa turun untuk memberikan bantuan kepada benteng Sabah yang sebenarnya begituu efekti dan membantu dalam proses mendapatkan bola di udara. Sememangnya Sabah memerlukan pemain pertahanan tinggi lampai untuk melakukan ‘ball interception’ kepada hantaran lambung dan tinggi. Tahukah anda bahawa Francis Kasonde bakal menambahkan kekuatan benteng Sabah musim ini?

5. Sekali lagi, faktor 3R.

Pemain yang bertindak cukup cemerlang dalam perlawanan ke-2 Sabah menentang FELCRA FC, Robson Rendy Rining (3R), sekali lagi membuktikan bahawa beliau merupakan penjaga gol harapan Sabah untuk musim ini. Untuk setakat 3 perlawanan, 3R sudahpun memperolehi 2 ‘clean sheets’ iaitu ketika menang 4-0 ke atas TFC II dan terbaharu semalam menang 2-0 ke atas The Cops. Aksi beliau begitu cemerlang sehinggakan sepakan-sepakan daripada pemain pasukan PDRM FA nampak seperti sepakan daripada budak sekolah rendah. Begitulah bagaimana cekapnya penjaga gol muda dari Beaufort ini. Terdapat satu ketika di mana 3R hanya berhadapan 1 lawan 1 sahaja bersama dengan Mohd Hariz Fazrin pada minit ke-7 permainan yang ramai sudah pasti menyangka bahawa itu adalah gol awal dari pasukan PDRM FA. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. 3R tenang menepis sepakan deras daripada Hariz secara ‘point blank’.

6. Sokongan padu pemain ke-12 Sabah

Pemain ke-12 Sabah sudah pasti anda dan saya sendiri! Kehadiran hampir 6000 penyokong Sabah di Likas pada perlawanan ini sudah pasti telah memberikan sokongan moral kepada para pemain Sabah sehingga mereka berjaya mencipta kemenangan 2-0 di Likas. Kemenangan tetap kemenangan, bagaimana kemenangan itu terhasil adalah bukan isunya. Walaupun keputusan-keputusan pengadil nampak begitu boleh dipersoalkan, Sabah tetap positif kerana terdapatnya sokongan suara daripada para penyokong hadir. Untuk rekod, pengadil perlawanan telah memberikan sepakan percuma yang tidak terikirakan (melebih 10 ‘free kicks’) kepada pasukan pelawat walaupun sebenarnya terdapat beberapa insiden yang mana pemain Sabah dipersalahkan di saat mereka dikasari oleh pemain PDRM FA. Terdapat juga situasi di mana pemain PDRM FA terjatuh secara sendiri namun pemain Sabah yang dihukum dengan sepakan percuma.

Kesimpulan

Di sebalik kemenangan 2-0 ini, terdapat perkara yang mungkin boleh diambil iktibar dalam perlawanan-perlawanan yang akan datang. Antaranya ialah:

  1. Kekalkan disiplin bertahan yang cemerlang.
  2. Kekalkan kesatuan dan persefahaman baik di kalangan pemain.
  3. Berikan ‘support’ yang lebih buat Hector Ramos untuk beliau lebih mudah menjaringkan gol.
  4. Kekalkan 3R sebagai penjaga gol Sabah.
  5. Minimakan hantaran tinggi yang sia-sia. Jika boleh, kekalkan corak permainan dengan pertukaran hantaran-hantaran pendek.
  6. Teruskan rentak kemenangan.

About the Author

Barman Oken Omoi
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "6 Perkara Yang Wajib Anda Ketahui Dalam Kemenangan 2-0 Sabah Ke Atas PDRM."

Leave a comment

Your email address will not be published.


*