Sabah rencatkan rentak cemerlang ATM di Likas

Sabah mengenepikan cabaran pasukan yang bernafas baru, ATM di Stadium Likas, Kota Kinabalu apabila menewaskan pasukan dengan gelaran The Gladiators itu dengan jaringan 1-0. Gambar ihsan: Shafuan Adli Shaari official FB.

Separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan buat kedua-dua pasukan namun pasukan Sabah lebih dahulu melakukan asakan pada minit ke-4 yang hampir menghasilkan jaringan apabila tandukan kilas daripada Igor Cerina hasil hantaran Dedi Kusnandar berjaya ditepis dengan hujung jari penjaga gol pasukan ATM, Mohd Hafizudin untuk sepakan sudut buat pasukan Sabah. Sepakan sudut yang dilakukan Sabah tersebut dapat ditanduk oleh Rawilson Batuil namun terkena badan pemain pertahanan pasukan ATM sebelum sempat menerjah jaring.

ATM bagaimanapun mengejutkan Sabah pada minit ke-6 apabila percubaan Boris Formenkov tidak berjaya ditepis dengan kemas oleh Rozaimie Rohim lalu membiarkan Khasan Abdukarimov melakukan satu ‘follow up’ namun beliau terlebih dahulu berada dalam kedudukan ‘offside’. Sejurus selepas itu perlawanan dihentikan selama 6 minit setelah tiang penyokong jaring di belakang tiang gol Sabah tertumbang akibat terkena bola sepakan padu Khassan Abdukarimov.

Sabah di sepanjang separuh masa pertama banyak melakukan asakan namun tidak mampu menggegarkan jaring pasukan pelawat ATM. Walaubagaimanapun di penghujung separuh masa pertama Sabah memperolehi peluang menerusi Muamer Salibasic yang melakukan percubaan dari dalam kotak penalti hasil lorongan menarik daripada Maxius Musa namun percubaan beliau berjaya ditepis keluar oleh penjaga gawang gol ATM.

Bersambung babak ke-2 Sabah terpaksa merehatkan Azizan Nordin kerana mengalami kecederaan dan memberikan peluang buat Shafuan Adli Shaari beraksi. Sabah membuat pertukaran sekali lagi pada minit ke-52 di mana Leopold Alfonso Otong masuk menggantikan Ummareng Bacok di bahagian sayap kanan. Kemasukan Leopold dan Shafuan memberi impak yang drastik terhadap corak permainan Sabah apabila kedua-dua mereka terlibat dalam gerakan yang menghasilkan gol pertama Sabah pada minit ke-54. Gerakan tersebut bermula daripada kawalan Rawilson Batuil yang memberikan bola kepada Shafuan Adli Shaari yang seterusnya kepada Leopold di sebelah kanan lalu melorongkan kepada Muamer Salibasic yang melakukan flik mudah kepada Alto Linus. Alto Linus menewaskan pertahanan ATM, Sukri Mat Hamidi sebelum melintangkan bola kepada Maxius Musa yang tidak berjaya dikawal oleh dua pertahanan ATM. Maxius Musa mudah melakukan ‘tap in’ yang terkena tiang di sebelah kanan sebelum melantun masuk menerjah jaring.

ATM yang tersentak dengan jaringan Maxius Musa itu cuba bangkit melakukan serangan bertali arus melalui rangkaian Khassan Abdukarimov, Sirojudin Rahmatulaiev dan Boris Formenkov namun sama ada percubaan mereka ditepis oleh Rozaimie Rohim ataupun percubaan mereka tersasar. Sabah dilihat lebih banyak melakukan ‘counter attack’ namun penyudah kurang baik sekali lagi menggagalkan mereka untuk menghasilkan jaringan. Sabah hampir mencipta gol menerusi Everton Santos, Leopold Alfonso dan Julamri Muhamad namun percubaan mereka sama ada tersasar, ditepis oleh Mohd Hafizudin dan terkena palang (Julamri Muhamad).

Sabah bermain dengan hanya 10 orang pada 7 minit sebelum perlawanan tamat apabila Everton Santos dilayangkan kad kuning ke-dua akibat kekasaran terhadap Sirojuddin Rahmatulaev. Peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh ATM untuk melipatgandakan asakan namun kebanyakan percubaan mereka berjaya dikawal dengan baik oleh Rozaimie Rohim. Walaubagaimanapun pada minit ke-90, giliran ATM pula bermain dengan 10 orang setelah ‘playmaker’ mereka Boris Formenkov mengutip kad kuning beliau yang ke-2.

Perlawanan tamat. Sabah menewaskan ATM 1-0 dan ini merupakan kemenangan Sabah yang ke-3 berturut-turut dalam 3 pertemuan terakhir mereka.

Bobby – The Rhinos Troops

 

About the Author

Barman Oken Omoi
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "Sabah rencatkan rentak cemerlang ATM di Likas"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*