Analisis Perlawanan JDT II vs Sabah, 15 Julai 2016 – LP2016 Matchday 13 (tewas 1-2)

Kesebelasan Utama dan Formasi

 

Sabah dengan nafas baru pada perlawanan ini menurunkan pemain-pemain berikut sebagai pemain kesebelasan utama:

Rozaimie Rohim (GK), Igor Cerina, Rawilson Batuil, Alto Linus, Azizan Nordin, Dedi Kusnandar, Ummareng Bacok, Maxius Musa, Stuart J.W Wark, Everton Pedalada, Muamer Salibasic.

Dengan pemain kesebelasan ini, Johnny Dominicus menggunakan formasi yang jarang digunakan oleh Vjeran Simunic sebelum ini iaitu 3-2-4-1. Formasi ini hanya menggunakan 3 pertahanan (Igor, Rawilson dan Alto) di bahagian pertahanan dengan dibantu oleh dua pemain DMF iaitu Dedi Kusnandar dan Azizan Nordin. Sayap kiri dan kanan masing-masing diserahkan kepada Maxius Musa dan Ummareng Bacok. Dalam formasi yang digunakan ini, Stuart Wark berperanan sebagai CMF dan ‘holding midfielder’. Everton Pedalada pula lebih bertindak sebagai AMF dan meninggalkan Muamer Salibasic sebagai ‘lone striker’.

Sudut Pandang Taktikal

1. Pertahanan

Pertahanan Sabah pada perlawanan ini banyak menymbang kepada serangan Sabah. Ini kerana Sabah lebih banyak menyerang untuk keseluruhan perlawanan ini. Kelekaan dalam ‘menceburkan diri’ dalam serangan menyebabkan mereka lambat turun dan membolehkan penyerang utama JDT II, Paolo Rangel melakukan serangan balas dengan pantas.

Igor Cerina mengawal baik di bahagian tengah pertahanan dengan bantuan keserasian sedia ada bersama Alto Linus dan Rawilson Batuil. Igor Cerina membuktikan yang beliau merupakan pemain pertahanan terbaik buat Sabah dengan menyumbat gol tunggal Sabah. Di manakah penyerang Sabah?

Rawilson seperti biasa amat sinonim dengan kekentalan serta kekerasan beliau di atas padang dan ini menyebabkan sukar untuk penyerang-penyerang JDT II menembusi kawasan kiri pasukan Sabah. Padah buat Rawilson kerana terpaksa menerima dua layangan kad kuning pada perlawanan ini dengan keagresifan beliau. Alto secara keseluruhan bertindak cemerlang namun kedua-dua gol pasukan tuan rumah adalah berpunca daripada kawasan kawalan beliau iaitu di sebelah kanan.

 

2. Tengah

Azizan Nordin dan Dedi Kusnandar banyak membantu ‘back three’ Sabah dalam melakukan pertahanan. Azizan beraksi agak agresif dengan melakukan beberapa ‘tackle’ keras ke atas pemain tuan rumah; itu sinonim dengan Azizan. Pemain lawan perlu berhadapan dengan permainan fizikal daripada anak kelahiran Bongawan ini. Dedi seperti biasa kerap melakukan hantaran ‘ambitious’ dan tinggi ke arah Maxius Musa. Pelik tapi benar, Dedi jarang mengumpan ke arah Ummareng Bacok. Walaubagaimanapun hantaran beliau sangat berkualiti dan banyak menepati sasaran cuma acapkali tidak terkejar oleh pemain penyerang Sabah.

Stuart Wark tidak gugup bermain menentang bekas kelab beliau. Beliau antara pemain yang jelas memukau pada perlawanan malam ini. Beliau banyak menggunakan ‘body shield’ ketika melakukan kawalan bola. Menarik ialah, Stuart banyak mengilhamkan corak permainan ‘possession game’ dengan hantaran-hantaran pendek. Gandingan beliau bersama Everton Pedalada kelihatan sangat baik dalam menjelmakan serangan menarik buat pasukan Sabah. Everton menerima banyak pujian berkenaan skil individu beliau yang tinggi dan hantaran-hantaran beliau yang berkualiti. Selain daripada itu beliau juga berjaya menghasilkan beberapa peluang keemasan Sabah untuk mencipta jaringan. Sepakan dari luar kotak penalti beliau di minit-minit akhir permainan sempat terbias sedikit dan hampir memberikan gol penyamaan buat Sabah.

Ummareng Bacok dan Maxius Musa masing-masing hampir mencipta nama sebagai penjaring gol pada perlawanan ini namun berjaya ditidakkan oleh penjaga gol JDT II. Serangan Sabah banyak tertumpu di sebelah kiri JDT II dan ini membuatkan Maxius Musa lebih banyak terlibat dalam serangan. Beliau sering bertukar hantaran-hantaran pendek bersama Stuart dan Everton serta kerap melakukan ‘overlapping’ serta ‘cut back cross’ yang berbahaya. Maxius perlu dikekalkan dalam kesebelasan utama Sabah. Bercakap mengenai Ummareng Bacok, beliau banyak melakukan larian ke dalam kotak penalti namun pemain-pemain JDT II bertindak terlalu fizikal terhadap beliau. Sabah sepatutnya dihadiahkan sepakan penaliti di separuh masa pertama apabila Ummareng dikasari dari arah belakang oleh pemain pertahanan tuan rumah namun pengadil perlawanan tidak mengendahkan situasi tersebut.

 

3. Penyerang

Muamer Salibasic mendapat beberapa peluang terbaik namun sepakan beliau samaada tersasar atau pun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol JDT II. Mungkin hanya tuah tidak menyebelahi beliau. Dalam hal yang lain, Muamer juga terlibat dalam ‘possession game’ Sabah yang banyak berlegar-legar di sekitar kiri dan kanan kotak penalti pasukan Harimau Selatan. Sabah juga banyak mendapat sepakan percuma akibat daripada kekasaran yang dilakukan ke atas Muamer.

 

4. Penjaga Gol

Rozaimie Rohim walaupun tidak banyak diuji, tetap mempersembahkan persembahan yang baik dengan melakukan beberapa penyelamatan mudah. Beliau hanya tidak bernasib baik kerana dibolosi dengan larian solo Paolo Rangel (gol pertama) dan ‘deflection’ bola hasil sepakan Rangel. Pertahanan Sabah sepatutnya dapat mengelakkan ke dua-dua gol tersebut daripada tercipta. Rozaimie tetap menjadi pilihan utama Sabah untuk posisi ini!

Kesimpulan

Secara keseluruhan, corak permainan Sabah pada perlawanan ini amat baik. Ramai yang mengatakan terdapat perubahan dari segi corak permainan. Ramai yang terkejut Sabah boleh mengawal keseluruhan permainan dan seakan akan bermimpi! Tidak dinafikan bahawa Sabah kini sudah berwajah baru. Disebalik permainan cantik Sabah ini, perlu diketahui juga bahawa masih banyak ruangan yang perlu penambahbaikan contohnya dari segi penyudah. Pemain dan barisan jurulatih harus lebih fokus dalam memperbaiki lagi aspek penyudahan jaringan.

 

Bobby pannaft.

©sabahfootbal4u

Featured Image credit to Sabah Football Association

About the Author

B Oken Tacts
An Advanced Oil & Gas Geology Analyst, football fan, football analyst and blogger covering Malaysia Premier League, Malaysia Super League, Piala FA Malaysia, Piala Malaysia, PIala FAM, Piala Presiden, Piala Belia, AFC Cup, AFF Suzuki Cup and more! Providing news, player profiles, game analysis and more!

Be the first to comment on "Analisis Perlawanan JDT II vs Sabah, 15 Julai 2016 – LP2016 Matchday 13 (tewas 1-2)"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*